Aktiviti Bermain Dalam Dunia Si Kecil

 

Profesor Bruner adalah salah seorang pakar yang mempelopori teori konstruktivisme (constructivism) dan proses pembelajaran penemuan (discovery learning). Sebelum saya mula mengulas enam fungsi aktiviti bermain berdasarkan penyelidikan beliau, molek kiranya jika kita dapat memahami terlebih dahulu tiga ciri utama teori yang telah dipelopori oleh pakar tersohor dunia ini (maafkan saya jika tiga ciri ini berbunyi terlalu akademik, apa pun kita wajib memahami asas pemikiran pakar ini sebelum kita mengulas dan mengupas pendapat beliau tentang aktitivi bermain kanak-kanak).

Tiga ciri teori konstruktivisme dan proses pembelajaran penemuan Bruner :

Ciri Pertama : Menyedari kecenderungan kanak-kanak mencari pengalaman yang berguna sambil menimba ilmu pengetahuan.

Kadang-kadang kita terlupa bahawa kanak-kanak praformal dalam lingkungan usia 1-6 tahun sedang aktif belajar tentang dunia di sekeliling mereka. Hal ini terjadi kerana kanak-kanak kelihatan seperti taksub kepada keseronokan dan hanya ingin bermain setiap masa dan ketika. Malah, jika ditolak masa tidur kemungkinan besar setiap detik si kecil anda celik dipenuhi dengan aktiviti bermain semata-mata.

Walau bagaimanapun, pengalaman yang berguna juga akan membantu seorang anak kecil mula menimba ilmu secara tidak langsung. Faktor-faktor luaran seperti dorongan orang tua, adat dan budaya setempat serta faktor sosial lain amat mempengaruhi proses ini. Penyelidikan berpuluh tahun Profesor Bruner mendapati bahawa ibu bapa dan juga guru prasekolah berfungsi sebagai pemangkin proses ini.

Malah, ibu, bapa dan guru prasekolah yang prihatin dapat menyokong proses ini dengan membantu kanak-kanak mencari serta merasai pengalaman-pengalaman baru. Hasilnya, perlahan-lahan kecenderungan kanak-kanak untuk belajar akan terlihat dan mereka akan mempelajari kemahiran-kemahiran baru melalui aktiviti seperti bermain secara spontan sama ada bersendirian atau dengan kanak-kanak lain.

Ciri Kedua : Memahami konsep dan struktur ilmu pengetahuan dari mata dan pemikiran kanak-kanak.

Ambil aktiviti bermain sebagai contoh. Sebagai orang dewasa, kita mungkin tidak sedar bahawa secara amnya Semua aktiviti bermain berpotensi memberi pengalaman yang berguna kepada si kecil seterusnya membantu anak kecil itu untuk mempelajari sesuatu yang baru, menambah pemahamannya atau mungkin juga menggantikan konsep salah (yang dipelajari sebelum itu) dengan konsep yang lebih tepat dan relevan.

Masalahnya, hari ini kita hanya ‘melihat’ ilmu pengetahuan sebagai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) sahaja. Jika si kecil lambat menguasai tiga kemahiran asas ini, kita cenderung merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan anak kecil itu! Konsep dan struktur ilmu pengetahuan tidak boleh dilihat dan dinilai dari kaca mata orang dewasa semata-mata.

Menurut Profesor Bruner, antara ilmu pengetahuan yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak adalah pemahaman tentang ciri, kategori dan fungsi benda-benda di sekeliling mereka. Dari titik ini nanti barulah kanak-kanak boleh mula membawa pemikiran mereka ke tahap yang lebih tinggi – tahap di mana mereka akan lebih bersedia untuk menguasai kemahiran 3M dan seterusnya. Dalam erti kata lain, memaksa si kecil ‘mempelajari’ sesuatu sebelum dia bersedia bukan hanya menyeksa anak kecil itu malah mungkin menyeksanya!

Ciri Ketiga : Mendedahkan kanak-kanak kepada ilmu pengetahuan baru secara bertahaptahap. Di sekeliling kita, informasi terkandung bukan hanya dalam bentuk visual atau fizikal. Jika kita tidak dapat melihat sesuatu, itu tidak bererti benda atau perkara itu tidak wujud. Akan tetapi, kanak-kanak pada usia praformal masih belum dapat memahami realiti asas ini. Itu sebabnya kanak-kanak perlu diberi pendedahan secara penderetan atau penjujukan (sequencing) menggunakan gambar atau objek terlebih dahulu.

Kemudian mereka perlu didedahkan kepada perkataan dan simbol yang membawa makna yang serupa dengan gambar atau objek yang ditunjukkan kepada mereka. Diharapkan melalui langkah ini, kanak-kanak dapat mula berfikir secara konsepsi (conceptual) – iaitu suatu tahap pemikiran yang lebih kompleks.

Yang pasti, ini adalah suatu proses yang akan mengambil masa dan memerlukan ruang penerokaan yang luas. Itu sebabnya Profesor Bruner mengesyorkan aktiviti bermain sebagai salah satu cara permulaan untuk membantu kanak-kanak memajukan kemahiran berfikir mereka. Buku-buku bergambar yang diterbitkan untuk kanak-kanak hari ini juga cuba menepati ciri ketiga teori Bruner ini sebagai wadah untuk membantu pemikiran mereka berkembang supaya dapat menguasai ilmu pengetahuan yang lebih kompleks!

Enam pandangan Bruner mengenai aktiviti bermain dalam dunia kanak-kanak praformal (0-6 tahun) :

Akhirnya, kita sampai ke topik utama yang ingin diketengahkan oleh siri artikel ini iaitu aktiviti bermain dari sudut pandangan seorang pakar yang amat berpengalaman serta berpengetahuan luas dalam proses perkembangan kanak-kanak dan cara terbaik untuk mendidik si kecil.

Buku karya Profesor Bruner bertajuk “The Process of Education” atau Proses Pendidikan yang ditulis pada tahun 1960 misalnya, masih menjadi sumber rujukan utama hari ini untuk para penyelidik dan juga pendidik yang ingin mendalami teori konstruktivisme dan proses pembelajaran penemuan.

Untuk memudahkan perbincangan, enam pandangan beliau telah saya simpulkan dan paparkan semula dalam gambar rajah berikut. Walau bagaimanapun, disebabkan kekangan ruang bulan ini hanya sudut pandangan yang pertama dapat kita bincangkan.

Pandangan pertama: Bermain sebagai suatu ruang penerokaan yang amat kecil risiko kekecewaan.

Dalam hidup sehari-hari, hampir semua usaha dan perbuatan kita mendatangkan akibat dan kesan kepada diri sendiri, orang lain atau dunia fizikal di sekeliling kita. Ini adalah lumrah hidup yang tidak dapat kita elakkan. Akibat dan kesan ini pula sudah tentu akan mempengaruhi corak pemikiran dan gaya tindakan anda dan saya. Akibat dan kesan yang tidak baik, yang negatif lagi buruk misalnya, akan sentiasa kita elakkan demi kehidupan yang lebih aman, tenang dan tenteram.

Walau bagaimanapun, apabila kanak-kanak bermain lazimnya mereka tidak perlu terlalu memikirkan tentang akibat dan kesan seperti ini (kecuali mungkin padah yang akan datang kalau-kalau perlakuan mereka mendatangkan mudarat kepada diri sendiri, rakan sepermainan atau harta-benda orang lain). Pada masa yang sama, kanak-kanak pada usia praformal sudah tentu tidak menghiraukan ‘padah’ ini apabila mereka khusyuk bermain!

Kenapakah hal ini terjadi? Jawapannya mudah, kerana bermain adalah suatu aktiviti yang amat sedikit atau langsung tiada akibat atau kesan yang tidak baik, yang negatif lagi buruk. Kesilapan dan kesalahan ketika bermain sebagai contoh, lazimnya tidak mendatangkan keburukan kepada si kecil. Begitu juga halnya jika si kecil gagal dalam aktiviti bermain yang dilakukannya.

Jika dilihat dari sudut yang berbeza, aktiviti bermain tidak akan mendatangkan sebarang rasa kecewa atau rasa kecewa yang berpanjangan kepada anak anda – walaupun mungkin aktiviti itu sendiri sesuatu yang amat serius dimatanya! Apabila kanak-kanak bermain, mereka bermain untuk diri mereka sendiri dan tidak pula untuk orang lain. Jauh sekali mereka bermain dengan ‘niat ikhlas’ untuk mencari pengalaman berguna demi menimba ilmu pengetahuan.

Oleh sebab itu, aktiviti bermain adalah ruang penerokaan yang terbaik untuk kanak-kanak yang sedang aktif membesar dan berkembang. Ia adalah suatu arena di mana mereka boleh melakukan dan mencuba apa sahaja yang diingini (dengan pemantauan ahli keluarga atau guru prasekolah mereka pastinya). Apa pula kisahnya jika si kecil kecewa atau gagal ketika bermain? Jangan anda risau kerana esok adalah suatu hari yang baru dengan peluang untuk terus bermain sekali lagi.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.